Saturday 26 October 2013

PELAKSANAAN i-THINK SK KIARAMAS 2012-2013

      Seperti mana yang diketahui, i-THINK telah mula diperkenalkan pada tahun 2012. SK Kiaramas merasa amat bertuah kerana terpilih sebagai salah sebuah sekolah rintis di kalangan 10 buah sekolah. Ia adalah satu-satunya sekolah rintis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terletak di dalam Zon Sentul. Pelaksanaan Bermula pada bulan Januari 2012, i-THINK telah mula diaplikasikan di dalam semua mata pelajaran sesuai dengan konsep pendekatan seluruh sekolah (whole-school approach). Guru-guru lebih banyak berfungsi sebagai fasilitator dan pembelajaran kolaboratif sentiasa dijalankan semasa sesi PDP. Pihak sekolah turut memberikan taklimat kepada ibu bapa tentang konsep i-THINK dan mereka menunjukkan sokongan yang positif.
       Pada 13 Mac 2012, majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak. Pihak sekolah turut melancarkan Bulan i-THINK pada bulan Mei 2012. Satu aspek penting yang tidak dapat diketepikan ialah aspek pembudayaan i-THINK dikalangan warga sekolah di dalam kelas dan luar kelas serta komuniti sekeliling. Pembudayaan di dalam kelas dapat dicapai dengan menerapkan aktiviti dalam kumpulan, diskusi, main peranan, pembentangan, pameran hasil kerja murid dan sebagainya. Manakala aktiviti di luar kelas ialah melalui kuiz, pertandingan, aktiviti kokurikulum, pameran hasil kerja dan sebagainya. Bagi komuniti sekeliling, ia boleh dicapai melalui edaran pamplet, brosur, blog, kain rentang dan sebagainya.
     SK Kiaramas turut mengambil inisiatif mewujudkan blog iaitu tskiaramas.blogspot.com yang memaparkan pelaksanaan i-THINK di sekolah ini. Namun apa yang paling penting ialah aplikasi i-THINK dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Untuk itu pihak pentadbir sekolah dan Pasukan Pemandu sentiasa bekerjasama dalam pemantauan pengajaran guru-guru di dalam kelas secara berkala. Selain itu, bimbingan dalam bentuk kursus dalaman turut diadakan. Guru-guru juga boleh merujuk kepada Pasukan Pemandu apabila mereka mempunyai kemusykilan.
      Lawatan secara berkala turut diadakan oleh Agensi Inovasi Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia demi memantapkan pelaksanaannya. Pihak sekolah turut menerima lawatan daripada sekolah-sekolah berdekatan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut pelaksanaan i-THINK dan mempelajari alat berfikir yang digunakan. Semestinya sesuatu program yang dijalankan perlu melalui satu proses kajian untuk memastikan pencapaian dan keberkesanannya. Oleh itu, sekolah -sekolah rintis i-THINK tidak terkecuali dari Kajian Status Pencapaian i-THINK yang telah dijalankan oleh para penyelidik dari Institut Pengajian Sains Sosial UPM pada 19 Jun 2012. Kajian tersebut menunjukkan penemuan yang positif terutamanya kebaikannya dalam meningkatkan kemahiran berfikir dan kreativiti murid. Namun ia masih memerlukan beberapa penambahbaikan seperti dalam aspek guru, kemudahan dan Pasukan Pemandu. Ia amat berguna sebagai satu panduan ke arah i-THINK yang lebih mantap dan efektif. 
        Dalam tempoh setahun pelaksanaannya, ia turut merubah persekitaran sekolah yang dihiasi dengan kain rentang, bunting, mural dan contoh-contoh peta pemikiran yang dihasilkan oleh murid sebagai tanda penghargaan. Pasukan Pemandu dan beberapa guru SK Kiaramas turut terlibat sebagai panel dalam pembinaan modul i-THINK di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia telah berlangsung beberapa peringkat dalam bulan Jun, Mei dan kemuncaknya ialah pada 4 hingga 7 September 2012. Modul ini ialah sebagai panduan bagi guru-guru seluruh Malaysia tentang program i-THINK dan pelaksanaannya. Manakala di peringkat sekolah, para guru telah bekerjasama menghasilkan modul i-THINK bagi mata pelajaran teras termasuk Pendidikan Agama Islam. Modul ini adalah sebagai panduan bagi guru untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam sesi 2013. Ia turut menerapkan kemahiran penyoalan aras tinggi bagi setiap topik.
      SK Kiaramas juga telah terlibat dalam rakaman video pembelajaran Bahasa Inggeris berasaskan i-THINK di bawah program MBMMBI bagi murid tahun 2. Ia telah dijalankan pada 30 Oktober 2012 dibawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia. Pada bulan November 2012, Pasukan Pemandu SK Kiaramas turut terlibat di dalam Kursus Pasukan Pemandu i-THINK bagi 17 buah sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pelaksanaan i-THINK di SK Kiaramas mengorak langkah memasuki tahun ke dua pada tahun 2013. Pelan tindakan pelaksanaan i-THINK dijalankan berdasarkan refleksi tahun 2012 iaitu dengan meningkatkan potensi 2012 dan mengatasi kelemahan lalu. Pelaksanaan pada tahun 2013 juga memberikan penekanan kepada kemahiran menyoal dan berfikir aras tinggi dikalangan guru dan murid. Ia dilaksanakan semasa pembelajaran di dalam kelas dan di luar kelas. Murid-murid berpeluang menjawab soalan Kuiz Soalan Aras Tinggi dan mengemukakan soalan di papan kenyataan I Wonder atau Saya Ingin Tahu.
      Sekolah turut berbesar hati kerana menerima lawatan dari Pengasas Peta Pemikiran iaitu Dr David Hyerle dari Kestrel Education Amerika Syarikat pada 4 Februari 2013. Kedatangan beliau telah memberikan suntikan inspirasi bagi warga sekolah untuk meningkatkan minat belajar murid dan menjana pemikiran aras tinggi. Lanjutan dari lawatan ini, SK Kiaramas dan kesemua sekolah rintis yang lain telah dikenali sebagai Sekolah Showcase i-THINK. Selain itu, sekolah turut menerima beberapa siri lawatan oleh sekolah-sekolah lain. Pada bulan Mac, Pasukan Pemandu telah diberikan pendedahan kepada satu lagi program iaitu Habits of Mind. Ia adalah fasa kedua dalam pelaksanaan program i-THINK. Seterusnya para guru SK Kiaramas keseluruhannya telah mengikuti kursus dalaman Habits of Mind. Mereka pula akan menerapkan amalan berfikir ini dikalangan murid. Selain itu, pada tahun ini, Pasukan Pemandu sentiasa terlibat dalam memberikan kursus dalaman Peta Pemikiran dan konsep i-THINK kepada beberapa buah sekolah di dalam Zon Bangsar, Keramat, Pudu dan Sentul. Mereka juga terlibat dalam Mesyuarat Penambahbaikan Bahan Kursus Pasukan Pemandu i-THINK yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. 
         Dari semasa ke semasa, pemantauan pengajaran guru berasaskan i-THINK turut dijalankan untuk memastikan kelestarian program ini. Kelas-kelas yang memaparkan hasil kerja murid yang kreatif turut diberikan penghargaan. Kesimpulannya, walaupun ia telah dijalankan hampir dua tahun, pelbagai lagi inisiatif perlu dilaksanakan untuk memastikan keberkesanan dan kesinambungan program i-THINK ini. Ia juga memerlukan komitmen yang tinggi daripada kesemua warga sekolah demi kebaikan anak-anak didik.

Saturday 12 October 2013

MESYUARAT PEMBINAAN INSTRUMEN PEMANTAUAN KBAT

Pada 9 hingga 11 Oktober 2013, Pn Zuliana Ismail selaku Penyelaras i-THINK SK Kiaramas telah menghadiri Mesyuarat Pembinaan Instrumen Pemantauan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Siri 3 bersama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Putrajaya. Ia telah dijalankan di Rumah Peranginan Persekutuan Negeri Sembilan. Ahli mesyuarat turut terdiri daripada pensyarah IPG, pegawai-pegawai PPD Rembau dan guru penyelaras i-THINK dari sekolah perluasan i-THINK Putrajaya dan Negeri Sembilan. Objektif mesyuarat ialah untuk memurnikan instrumen pemantauan selepas uji rintis ke 2 yang dijalankan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Negeri Sembilan dan Selangor. Instrumen pemantauan yang dibangunkan terdiri daripada Instrumen Pemantauan Kepimpinan, PdP, PPD dan Pasukan Pemandu. Ianya akan digunakan dalam pemantauan yang akan dijalankan pada tahun hadapan selari dengan penerapan KBAT di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Puan Zuliana Ismail telah bertanggungjawab membina dan memurnikan instrumen pemantauan Pasukan Pemandu bersama JNJK yang diketuai oleh En Azizan Khalil.

Monday 7 October 2013

KARNIVAL BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM SEJARAH

Pada 5 hingga 6 Oktober 2013, SK Kiaramas sebagai salah sebuah Sekolah Showcase i-THINK telah menyertai Karnival Berfikir Aras Tinggi Dalam Sejarah. Karnival ini telah berlangsung di Sekolah Showcase I-THINK Terengganu iaitu SK Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu. Objektif karnival ini ialah menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pembelajaran Sejarah bersempena Sambutan Kemerdekaan Negara kita. Karnival tersebut melibatkan penganjuran pameran i-THINK dan pertandingan. Pertandingan tersebut disertai oleh 10 buah Sekolah Showcase i-THINK di Malaysia. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan Mencipta Video Saya Sayang Malaysia, Pertandingan Lakaran Susur Galur Kemerdekaan dan Pertandingan Mencipta Model Bangungan Bersejarah. Ia telah diwakili oleh 12 orang pelajar SK Kiaramas. SK Kiaramas telah mencatat kejayaan Naib Johan bagi Kategori Mencipta Video yang bertajuk Jejak Harimau Malaya. Syabas diucapkan kepada guru-guru pembimbingnya iaitu En Azar Syafiq Azni, En Kamarul Rizal Ahmad Shahar, En Zulfadli Saji dan ramai lagi. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Guru Besar, En Ooi Hock Leong dan guru-guru pembimbing yang turut serta iaitu Pn Zuliana Ismail, Pn Zaiton Ahmad, Pn Nooraini Shaikh Ismail.