Saturday 29 December 2012

Taklimat i-THINK Kepada Ibubapa Tahun 1

Pada 29 Disember 2012, Hari Orientasi Murid Tahun 1 2013 telah dijalankan oleh pihak sekolah. Pada majlis ini, GPK Tadbiran dan Kurikulum telah mengambil kesempatan tersebut untuk membentangkan konsep program i-THINK kepada ibubapa. Ia merangkumi penerangan tentang 8 Peta Pemikiran dan penyoalan aras tinggi yang akan diaplikasikan di dalam pembelajaran. Mereka juga telah diberikan edaran pamphlet yang menerangkan kesemua maps dan proses pemikiran yang terkandung di dalamnya.

Tuesday 27 November 2012

Perkongsian Pengalaman dengan Pasukan Pemandu Perak Siri 2

Pada 27 November 2012, Pn Zuliana Ismail telah menghadiri Kursus Pasukan Pemandu Negeri Perak untuk siri ke 2. Ia telah dijalankan di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam dan dihadiri oleh guru-guru matapelajaran Sains dan Matematik dari sekolah-sekolah di negeri Perak yang terlibat dalam program perluasan i-THINK. Pn Zuliana telah berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi semasa pelaksanaan program ini di SK Kiaramas. Ia diharapkan dapat memberikan input yang berguna kepada para peserta kursus.

Friday 23 November 2012

Kursus Pasukan Pemandu KL dan Putrajaya Siri 1

Pada 20 - 23 Nov 2013, telah berlangsung Kursus Pasukan Pemandu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, bertempat di Hotel Empress,Salak Tinggi, Sepang.Ia dihadiri oleh Pengetua, Guru Besar dan seorang guru Bahasa Malaysia dari 17 buah sekolah yang terpilih untuk program perluasan i-THINK tahun 2013. Tenaga kerja yang terlibat ialah En Hizal b Talib dari Jabatan Pelajaran WP Kuala Lumpur dan Pn Badariah, dari Putrajaya yang bertindak sebagai urusetia. Fasilitator kursus ialah Penyelaras i-THINK SK Kiaramas, Pn Zuliana Ismail dan pensyarah IPG Ilmu Khas, Cheras,Cik Ho. Kursus turut mendapat khidmat nasihat dari konsultan Kestrel Education, Mr Nick Symes. Ia merangkumi kesemua modul i-THINK yang ditetapkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum,Kementerian Pelajaran Malaysia. Peserta juga turut berpeluang berkongsi idea dan pengalaman dengan Guru Besar SK Kiaramas, En Tan Song Kag yang diundang pada hari ke 3 kursus. Manakala pada hari terakhir kursus, mereka telah diberikan bimbingan oleh pensyarah Institut Aminuddin Baki iaitu Pn Nazatushima Ab Aziz dan En Azmi.

Thursday 8 November 2012

Perkongsian Idea dengan Pasukan Pemandu Perak

Pada 8 November 2012, pentadbir SK Kiaramas iaitu GPK Tadbir dan Kurikulum, En Hasbullah Hassan dan Pasukan Pemandu iaitu Pn Zuliana Ismail dan Cik Norhaiyune telah memenuhi jemputan ke Kursus Pasukan Pemandu Peringkat Negeri Perak. Mereka telah diminta untuk berkongsi idea, pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan program i-THINK yang akan dijalankan oleh sekolah-sekolah di Perak pada tahun 2013. Dalam majlis selama dua jam ini, En Hasbullah Hassan telah membentangkan power point, tayangan video dan menjawab kemusykilan mereka dibantu oleh Pasukan Pemandu. Kebanyakan peserta amat teruja dan bersemangat untuk melaksanakan program ini.

Kursus Kepimpinan Guru Besar dan Pengetua

Pada 6 hingga 8 November 2012, kesemua Guru Besar dan Pengetua 10 buah sekolah rintis i-THINK telah menghadiri Kursus Kepimpinan di Eastin Hotel Petaling Jaya. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengurusan dan kepimpinan pentadbir dalam memastikan kelestarian program i-THINK di sekolah masing-masing.

Tuesday 30 October 2012

Rakaman Video Contoh Bahasa Inggeris Tahun 2

Pada 30 Oktober 2012, satu penggambaran video telah dijalankan di Kelas 2 Berlian, SK Kiaramas. SK Kiaramas telah terpilih untuk penggambaran video untuk menunjukkan integrasi i-THINK dalam konsep Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI)di dalam pengajaran Bahasa Inggeris KSSR Tahun 2. Rakaman ini adalah kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia. Guru yang terlibat dalam rakaman ialah Pn Intan Rafidah Yassin dan murid-murid tahun 2 Emas dan Intan seramai 25 orang. Rakaman telah berjalan dengan lancar dari jam 10 pagi hingga 1 petang.Tajuk pembelajaran ialah Feeling dan kemahiran pembelajaran ialah Listening and Speaking. PDP menerapkan aktiviti i-THINK iaitu Circle Map dan Multi-Flow Map. Ia telah berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang baik dari murid-murid.

Bina Modul Peringkat Sekolah

Bermula 24 Sept hingga 30 Oktober 2012, guru-guru SK Kiaramas telah bekerjasama menghasilkan modul bagi matapelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam. Modul tersebut berasaskan sukatan pelajaran dan akan digunakan sebagai panduan pada tahun hadapan. Ia diharapkan dapat memberikan idea kepada guru-guru dalam mengaplikasi i-THINK semasa pengajaran. Ia juga menekankan pembinaan soalan aras tinggi dalam setiap topik.

Friday 12 October 2012

Pameran di IPG Kampus Bahasa Melayu

Pada 12 Oktober 2012, SK Kiaramas telah dijemput menyertai Pameran bersempena Pertandingan Inovasi Dalam Pengajaran yang dianjurkan oleh IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Pameran telah dijayakan oleh Pn Zuliana Ismail, Cik Norhaiyune Abu Bakar dan turut disertai 3 orang murid tahun enam iaitu Natasah Herman, Nureen Zahirah Zubaidi dan Ameera Farisha Abdul Raif. Pameran yang bermula jam 8.30 pagi berakhir pada jam 12 tengahari. Pelawat kebanyakannya terdiri daripada guru-guru pelatih dan pensyarah. Mereka telah berpeluang melihat hasil kerja murid, menonton video dan berkongsi idea dan pengalaman dengan guru dan murid SK Kiaramas. Murid-murid telah menunjukkan kefahaman yang baik dengan menjawab soalan yang dikemukakan dan melakukan demonstrasi peta pemikiran.

Thursday 13 September 2012

Lawatan ke SJKC Wen Hua

Lawatan Penanda Aras Program i-Think telah diadakan di Sekolah Rintis SJKC Wen Hua di Melaka. Program ini telah diadakan pada 12 hingga 13 September 2012. Sekolah SK Kiaramas telah menghantar dua orang peserta untuk program ini.Program ini melibatkan 20 buah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur dan sebuah sekolah kebangsaan di Putrajaya.Peluasan program rintis i-Think ini akan dilaksanakan pada tahun 2013.Lawatan ini dengan kerjasama pihak Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan. JPWPKL memilih sekolah SJKC Wen Hua sebagai penanda aras bagi melihat sejauhmana proses pelaksanaan program i-Think di sekolah berkenaan. Sewaktu di sekolah SJKC Wen Hua, peserta lawatan telah diberi taklimat ringkas oleh Guru Besar.Dalam taklimat tersebut peserta telah diberikan penerangan tentang perjalanan program i-Think di sekolah berkenaan. Peserta juga telah dibawa melawat kawasan sekitar sekolah SJKC Wen Hua.

Friday 7 September 2012

Bina Modul i-THINK, Siri 3

Pada 4-7 September, satu bengkel Bina Modul i-THINK Siri 3 telah dijalankan di Pearl International Hotel. Ia dihadiri oleh kesemua Penyelaras i-THINK dari 10 sekolah rintis. Ia turut melibatkan Guru Besar SK Kiaramas, En Tan Song Kag dan Guru Besar SMK Convent Muar. Pn Marzita Omar,Pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum bertindak sebagai penyelaras bengkel. Bina Modul pada kali ini adalah untuk memurnikan modul yang telah dihasilkan dalam Siri 1 dan 2. Ia telah dirintis semasa Kursus Train The Trainers pada bulan Jun lalu. Bengkel ini juga bertujuan untuk menyediakan bahan untuk kursus Pasukan Pemandu bagi sekolah perluasan i-THINK pada bulan November kelak. Kesemua mereka telah bertungkus lumus memastikan modul tersebut memberikan input yang berguna dan menarik.

Tuesday 19 June 2012

Kajian Status Pencapaian UPM

Satu Kajian Status Pencapaian Program i-THINK telah dijalankan oleh para penyelidik dari UPM di semua 10 sekolah rintis i-THINK seluruh Malaysia. Bagi SK Kiaramas ianya telah dijalankan pada 19 Jun 2012. Para penyelidik terdiri daripada pensyarah dan pegawai dari Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM seramai lima orang iaitu Dr Shamsuddin Ahmad, Prof Madya Dr Bahaman Abu Samah, Dr Haslinda Abdullah, En Dzulhilmi Dahalan dan Pn Nurani Kamaruddin. Turut hadir ialah Pegawai Meja JPWP iaitu Pn Izaryani Ishak. Kajian tersebut berbentuk kualitatif yang melibatkan temubual 5 orang guru, 5 orang Pasukan Pemandu dan 7 orang murid.Hasil kajian akan dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia.

Saturday 16 June 2012

Kursus Pengukuhan Pasukan Pemandu

Pada 13 hingga 16 Jun 2012, Pasukan Pemandu SK Kiaramas telah menghadiri Reinforcement Course yang telah dijalankan di Sunway Putra Hotel. Kursus ini telah dihadiri oleh semua Pasukan Pemandu dari 10 buah sekolah rintis i-THINK. Kursus telah dikendalikan oleh Mrs. Terresa William daripada Kestrel Education. Objektif kursus ini ialah untuk meningkatkan kefahaman Pasukan Pemandu terhadap Peta Pemikiran yang telah diperkenalkan. Selain itu, peserta berpeluang mengemukakan kemusykilan dan kekeliruan yang dihadapi semasa pelaksanaannya di sekolah yang memasuki tiga bulan. Selain itu, Pasukan Pemandu telah berpeluang berkongsi idea dan pengalaman dengan sekolah rintis yang lain melalui Galeri Pameran yang diwujudkan oleh setiap sekolah semasa kursus tersebut.

Wednesday 13 June 2012

Lawatan oleh 5 buah sekolah Zon Sentul

Pada 13 Jun 2012,SK Kiaramas telah menerima lawatan oleh 5 buah sekolah di dalam Zon Sentul. Rombongan telah diketuai oleh Pn Yusmah Ahmad, Pegawai Pejabat Pelajaran Sentul. Sekolah -sekolah tersebut ialah SK Sentul 1, SK Taman Kepong, SK St Mary, SK Seri Kepong dan SK Seri Delima. Rombongan terdiri daripada Guru Besar dan seorang Penyelaras bagi lima buah sekolah tersebut. Lawatan ini ialah inisiatif Pelajaran Pelajaran Sentul yang mensasarkan sekolah tersebut sebagai salah sebuah sekolah di bawah program perluasan kelak. Mereka telah berpeluang melihat pelaksanaan i-THINK di dalam kelas dan meneliti hasil kerja murid yang dipamerkan.

Friday 8 June 2012

Kursus Train The Trainers

Pada 3 hingga 8 Jun 2012, guru Penyelaras i-THINK, Pn Zuliana Ismail telah ditugaskan sebagai Fasilitator bagi Kursus Train The Trainers yang berlangsung di Pearl International Hotel. Pn Zuliana bergandingan dengan En Omar Zakaria, Pensyarah IPG Tun Hussein On, Johor Bahru telah membantu Konsutan Kestrel Education, Pn Terresa William untuk memastikan kelancaran kursus. Kursus pada kali ini dihadiri oleh pegawai-pegawai Bahagian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran seluruh Malaysia dan guru-guru yang terpilih daripada sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Peserta telah diberikan pendedahan konsep i-THINK sepertimana yang telah dijalankan sebelum ini di 10 buah sekolah rintis. Mereka akan bertindak sebagai Jurulatih Utama Kebangsaan apabila program ini diperluaskan ke seluruh sekolah di Malaysia tidak lama lagi.